Tragedi Kilometer 223, Lebuh Raya Utara-Selatan

October 12th, 2010 | syirfan

Tragedi Kilometer 223, Lebuh Raya Utara Selatan.

12 terbunuh, lebih 40 orang dilaporkan cedera

Apa lagi yang mahu di ulas?

Sudah tiba masanya penilaian kita bukan kepada konsep – “apa yang kita LEBIH” tetapi konsep ” apa lagi yang kita KURANG”

Takziah dan Al Fatihah

SIMS : Tidak sampai hati nak letak gambar-gambar mangsa kemalangan.

Malaysia – Indonesia : Masih Bersaudarakah kita?

September 27th, 2010 | syirfan

HUBUNGAN Malaysia-Indonesia retak lagi. Untuk sekian kalinya, nilai persaudaraan antara dua negara istimewa di Nusantara kembali dipersoalkan. Siri bakar bendera dan lontar najis mewarnai episod konfrontasi yang sukar sudah dibilang dengan jari. Dari lembut tarian pendet dan cinta anak raja hinggalah kepada adegan seterika dan tangkapan buruh asing tidak berdokumen.

Kita semua harus akui bahawa hubungan Malaysia Indonesia hampir sama dengan batasan antara dua negara ini. Selat Melaka dan Laut China Selatan yang jadi pemisah turut membawa pasang surut hubungan. Selepas sekian lama juga – adakah kita masih bersaudara?

Hubungan persaudaraan yang terjalin atas nama Melayu Nusantara terus mewarnai latar sejarah. Walaupun hebat dengan pahlawan jawa dan melayu yang dikhabarkan jadi penakluk laut dan darat, kedua-dua negara ini akhirnya terjajah oleh bangsa Eropah – British dan Belanda. Keutuhan nilai “saudara sebangsa seagama” ini terus mencengkam nilai hubungan walaupun dibatasi oleh penjajah-penjajah ini.

Read More »

Merdeka!

August 31st, 2010 | syirfan

Berjanjilah…

Atas segala keringat, air mata nanah, nyawa dan maruah yang dikirim oleh semua pejuang negara kepada kita. Kemerdekaan ini akan kita pertahankan walau apa pun harganya!

"Makan Kanji Setiap Hari" – Apa lagi yang bakal terjadi…

July 29th, 2010 | syirfan

Makan Kanji Setiap hari.

Itulah salah satu tajuk berita kemanusiaan yang terpapar di dada akhbar Utusan hari ini. Klik sini

Rintihan Tajenisha Beevi Sirajidin dan tujuh anaknya sememangnya cukup terasa. Selepas suaminya dipenjarakan, ibu muda ini terpaksa membesarkan sendiri anak-anaknya.

Tiada makanan di rumah. Bayangkan anak kecilnya hanya diberikan air kosong. Beliau sendiri tidak mampu untuk menyusukan anaknya kerana sudah lama tidak menjamah nasi

Atas kesempitan hidup juga,  Tajenisha terpaksa memberhentikan persekolahan anak keduanya. Beliau juga terhimpit dengan sewa rumah yang tertunggak 3 bulan. Ditambah lagi dengan hutang  kos bersalin sebelum ini sekitar RM 3000. Kesemua hutang ini perlu dilunaskan sebelum Aidilfitri ini.

Permohonan Tajenisha untuk memperoleh  bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)  masih belum diluluskan.

Uniknya kes ini pada kaca mata saya ialah siapa yang sudi membantu?

Terimalah hakikat bahawa keluarga muda Islam ini kini mula dibantu oleh Persatuan Hindu Sangam. Bukanlah mempertikaikan persatuan ini. Malah saya angkat topi kepada persatuan ini yang sudi membantu walaupun beza agama yang ketara. Mungkin atas dasar “kemanusian itu harusnya tiada batasan”.

Namun begitu, dimana NGO yang lain? Di mana aktivis? di mana ahli politik ? Paling kasar lagi di mana masyarakat dan persatuan-persatuan agama Islam yang lain?

Lupakah kita pada sejarah – Ada yang menukar agama hanya kerana sekeping roti!

SIMS : Teringat anak di rumah…

Tembok Penjara Pudu tidak cukup kebal…

June 21st, 2010 | syirfan

Pada tika saya menaip ini, saya rasa tembok Penjara Pudu  yang berusia lebih 100 tahun, setinggi 4.5 meter dan sepanjang 394 meter yang menghadap Jalan Pudu telah pun menyembah bumi.

Mural sepanjang 384 meter yang mencatatkan rekod sebagai yang lukisan terpanjang di dunia, kini rebah atas tuntutan – modenisasi.

Saya malas berfikir panjang tentang relevan atau tidak tembok penjara itu dipelihara sebagai aset negara kerana ketetapannya sudah begitu : ia harus dirobohkan atas tujuan murni – pembangunan.

Seiras ceritanya dengan puisi Usman Awang – Balada Terbunuhnya Beringin Tua Di Pinggir Sebuah Bandaraya. Nampaknya, Tembok Penjara Pudu tidak cukup kebal..

Sebelum ia rebah malam ini, saya sempat mengirim kamera kepada salah seorang rakan yang berkunjung untuk menikmati wanginya sejarah tembok lewat petang tadi – “tolong ambilkan gambar, mana tahu perlu nanti saya tunjukkan pada anak cucu”

SIMS : Rindu untuk solat jumaat di Masjid belakang Penjara Pudu…

Arinaz Mazhar Hakim, andaian dan hubungan Malaysia-Brunei

June 17th, 2010 | syirfan

Sejurus mengetahui berita penceraian Pengiran Isteri Azrinaz Mazhar Hakim Mazhar oleh Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, saya berlegar-legar di laman-laman web untuk mencari cerita disebalik berita yang diumumkan Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana, Pengiran Alaudin Pengiran Paduka Abu Bakar menerusi slot berita Radio Televisyen Brunei (RTB).

Dari satu laman ke satu laman yang lain, pada penghujungnya saya gagal menemui jawapannya. Namun begitu, saya menjumpai sesuatu yang jauh lebih “kompleks” dari kes penceraian itu sendiri.

Saya dan mungkin ribuan yang lain membawa persoalan yang sama : kenapa Azrinaz di ceraikan? Bukahkan Azrinaz kelihatan sangat gembira dengan kehidupan di istana dan pastinya menimbulkan cemburu hampir pada sebahagian wanita lain di Malaysia dan Brunei.

Sangat memeranjatkan bila pelbagai andaian tercipta lewat komen-komen pembaca terutamanya di blog-blog hiburan. Pelbagai andaian dibuat hanya berasaskan pandangan peribadi dan  analisis mudah.

Maka terbitlah pelbagai versi andaian mengapa penceraian itu berlaku. Ia sangat mengejutkan. Pelbagai tingkah laku Azrinaz diulas bagaikan Azrinaz saban hari dihadapan mereka. Pada saya, jika benarkan Azrinaz begitu, adalah tidak wajar untuk menguruk, menghina, malah mungkin memfitnah dia sedemikian cara. Mungkin betul apa yang diandaiankan, tetapi dia tetap seorang manusia. Pada nilai manusia itu, tidaklah ada kewajaran untuk kita semua berbicara begitu.

Saya sangat selesa dengan kenyataan bertulis yang diedarkan kepada media sejurus pengumuman penceraian itu. Ia sangat islamik bila dinyatakan “(Ia) dipandu dan ditentukan oleh hukum syarak dalam perkahwinan dan perceraian dan juga menepati maksud ayat suci al Quran surah Al-Baqarah daripada sebahagian ayat 229, iaitu menikahi dengan baik (maaruf) dan melepaskan juga dengan baik (ihsan),”

Lewat komen-komen itu juga tergambar satu senario yang agak jelek pada saya. Pembaca dari Brunei – Malaysia saling kutuk mengutuk antara satu sama lain. Bagaikan satu pesta fitnah dan caci maki di laman maya. Saling merendahkan kewarganegaraan lawan masing-masing.

Tiada pun yang dilaporkan menang lewat kutukan-kutukan itu. Hanya yang jelas, terpalit warna kurang cantik pada hubungan harmoni Malaysia-Brunei.

Cukuplah. Mari berbincang isu yang lebih kompleks!

SIMS : Rindu kampung Ayer…

Melaka dibuka pada tahun 1262!

June 2nd, 2010 | syirfan

 

Sejarah telah buat kesilapan!

“Kesultanan Melayu Melaka diasaskan pada tahun 1262 dan bukannya pada tahun 1400 seperti yang diketahui ramai.”

Inilah inti pati kepada penemuan terbaru sekumpulan sembilan penyelidik tempatan yang diumumkan baru-baru ini. Kumpulan ini mengambil keputusan muktamad bahawa tarikh sebenarnya pembukaan Melaka adalah pada tahun 1262 dan bukannya pada tahun 1400 yang termaktub dalam buku sejarah tempatan.

Keputusan sebulat suara ini akan dimaklumkan kepada kerajaan Pusat dalam masa terdekat.

Bayangkan jika kenyataan baru ini adalah hakikat yang sebenarnya. Maksudnya kita bakal menyelesaikan banyak teka-teki sejarah dan sastera. Adakah kita akan memperoleh fakta sebenar pengembangan Islam di tanah Melayu. Adakah Melaka negeri pertama menerima Islam?

Paling jelas kita akan mula menilai semula karya sastera - Sejarah Melayu yang sebelum ini meletakkan Melaka dan kerajaan Majapahit dalam satu garis masa yang sama.

Jika kedua-duanya berada dalam garis masa yang sama, adakah maksudnya apa yang tertulis dalam karya itu betul. Pasti mengetarkan bila dinilai semula siapa Puteri Gunung Ledang yang dikatakan hadir dari Majapahit.  Menggetarkan juga bila memang wujud hubungan diplomatik dan kekeluargaan antara Melaka dan Majapahit. Adakah Hang Tuah benar-benar bertemu dengan Panglima Taming Sari?

Adakah kita juga bakal ketemu jawapan teka teki – siapa Hang Tuah sebenarnya?

Secara peribadi, saya gembira. Penemuan baru ini diharap menjadi asas kepada penemuan-penemuan yang lebih mengejutkan. Adakah kita sudah tiba ketahap kematangan sejarah sama seperti masyarakat Mesir yang berbangga untuk berkata – Sejarah kami ditulis setiap hari!

Piala Thomas dan lagu bangau oh bangau…

May 24th, 2010 | syirfan

Versi zaman kanak-kanak

…. Kayu oh kayu mengapa engkau basah?
Macam mana aku tak basah
hujan timpa aku
hujan timpa aku..

Hujan oh hujan Kenapa kau timpa kayu?
Macam mana tak timpa kayu
katak panggil aku
katak panggil aku…

Katak oh katak mengapa panggil hujan?
Macam mana aku tak panggil
ular nak makan aku
ular nak makan aku…

Ular oh ular kenapa nak makan katak?
Macam mana aku tak makan katak,
memang makanan aku
memang makanan aku…

Versi kini

… Jurulatih oh jurulatih kenapa kalah piala Thomas
macam mana kita tak kalah
pemain kita lemah
pemain kita lemah…

pemain oh pemain kenapa kamu lemah
macam mana kami tak lemah
media tekan kami
media tekan kami…

Media oh media kenapa tekan pemain
macam mana kami tak tekan
memang kerja kami
memang kerja kami…

* sampai bila-bilalah kita tak akan menang…

"Not to wear panties on Valentine’s Day!"

February 8th, 2010 | syirfan

Saya jangka ia gurauan. Bila diselidiki, ia benar-benar terjadi.

Tika ini, wujud kempen yang jauh berbeza dari kebiasaan. Satu kempen untuk membuktikan CINTA sebenar sang wanita kepada kekasihnya. Kempen ini digelar : “Not to wear panties on Valentine’s Day!”

Arrrrghhhhh, saya hilang kata. Saya  langsung tidak ketemu rasionalnya!

Al-Barakah di TV9

September 28th, 2009 | syirfan

Selepas sekian lama bermain di laman yang sama, FM Production akhirnya bermain pula di laman baru… TV9.

Al-Barakah muncul setiap malam isnin, 9.30 malam bermula malam ini. Al-Barakah adalah program TV pertama yang dilaksanakan hasil kerjasama FM Production dan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Al-Barakah wajar sahaja digelar sebuah program majalah, namun Al-Barakah di tangan penerbitnya, Nora mengubah wajah majalah itu sendiri. Ia lebih segar dari sebuah program yang pasti dilabelkan sangat lembab dan lembik akibat ia dikatakan sebuah program yang agak islamik.

Program ini memaparkan koleksi kejayaan yang terhasil dari penat lelah dan huluran bantuan. Asnaf-asnaf dari LZS bangun atas kesedaran untuk berdiri sama tinggi dengan masyarakat yag lain. LZS dengan sedaya mungkin membimbang mereka semua untuk keluar dari kepompong kemiskinan yang cukup menghimpit.

Bersama Akhtar Sahari yang bertindak sebagai presenter. Saya hanya bertindak sebagai penerbit penyelaras

Bersama Akhtar Sahari yang bertindak sebagai presenter. Saya hanya bertindak sebagai penerbit penyelaras

Jika ada yang mahukan program air mata persis “Bersama mu” lupakan. Penerbitnya hanya memaparkan kesedaran, keinginan, penah lelah dan manisnya kejayaan…

Dengan target setengah juta penonton yang diharapkan oleh TV9 pastinya menjadikan penerbitnya tidak beraya sakan tahun ini…

Lupakan tisu malam ini. Malam ini adalah malam untuk menyedari bahawa kita boleh berjaya jika kita berusaha ke arah itu!