"Tuhan, ubahlah dia…"

June 7th, 2010 | syirfan

Sekadar cerita.

Amin mempunyai masalah dengan isterinya, Maria. Saban hari Amin berdoa, “tuhan, ubahlah dia. Pasti perkahwinan ini akan membahagiakan.” Beberapa bulan kemudian, Amin bercerai dengan Maria.

Amin kemudian berkahwin dengan Salmah. Hubungan mereka tetap bermasalah. Amin terus berdoa, “tuhan, ubahlah dia. Pasti perkahwinan ini membahagiakan. Hasilnya, Amin bercerai dengan Salmah.

Amin bercerita pada Omar tentang masalahnya.

Omar berkata, “Mungkin kerana awak sibuk memohon pada tuhan untuk mengubah orang lain hingga awak lupa untuk mengubah diri sindiri!”

Amin terdiam.

Melaka dibuka pada tahun 1262!

June 2nd, 2010 | syirfan

 

Sejarah telah buat kesilapan!

“Kesultanan Melayu Melaka diasaskan pada tahun 1262 dan bukannya pada tahun 1400 seperti yang diketahui ramai.”

Inilah inti pati kepada penemuan terbaru sekumpulan sembilan penyelidik tempatan yang diumumkan baru-baru ini. Kumpulan ini mengambil keputusan muktamad bahawa tarikh sebenarnya pembukaan Melaka adalah pada tahun 1262 dan bukannya pada tahun 1400 yang termaktub dalam buku sejarah tempatan.

Keputusan sebulat suara ini akan dimaklumkan kepada kerajaan Pusat dalam masa terdekat.

Bayangkan jika kenyataan baru ini adalah hakikat yang sebenarnya. Maksudnya kita bakal menyelesaikan banyak teka-teki sejarah dan sastera. Adakah kita akan memperoleh fakta sebenar pengembangan Islam di tanah Melayu. Adakah Melaka negeri pertama menerima Islam?

Paling jelas kita akan mula menilai semula karya sastera - Sejarah Melayu yang sebelum ini meletakkan Melaka dan kerajaan Majapahit dalam satu garis masa yang sama.

Jika kedua-duanya berada dalam garis masa yang sama, adakah maksudnya apa yang tertulis dalam karya itu betul. Pasti mengetarkan bila dinilai semula siapa Puteri Gunung Ledang yang dikatakan hadir dari Majapahit.  Menggetarkan juga bila memang wujud hubungan diplomatik dan kekeluargaan antara Melaka dan Majapahit. Adakah Hang Tuah benar-benar bertemu dengan Panglima Taming Sari?

Adakah kita juga bakal ketemu jawapan teka teki – siapa Hang Tuah sebenarnya?

Secara peribadi, saya gembira. Penemuan baru ini diharap menjadi asas kepada penemuan-penemuan yang lebih mengejutkan. Adakah kita sudah tiba ketahap kematangan sejarah sama seperti masyarakat Mesir yang berbangga untuk berkata – Sejarah kami ditulis setiap hari!

Piala Thomas dan lagu bangau oh bangau…

May 24th, 2010 | syirfan

Versi zaman kanak-kanak

…. Kayu oh kayu mengapa engkau basah?
Macam mana aku tak basah
hujan timpa aku
hujan timpa aku..

Hujan oh hujan Kenapa kau timpa kayu?
Macam mana tak timpa kayu
katak panggil aku
katak panggil aku…

Katak oh katak mengapa panggil hujan?
Macam mana aku tak panggil
ular nak makan aku
ular nak makan aku…

Ular oh ular kenapa nak makan katak?
Macam mana aku tak makan katak,
memang makanan aku
memang makanan aku…

Versi kini

… Jurulatih oh jurulatih kenapa kalah piala Thomas
macam mana kita tak kalah
pemain kita lemah
pemain kita lemah…

pemain oh pemain kenapa kamu lemah
macam mana kami tak lemah
media tekan kami
media tekan kami…

Media oh media kenapa tekan pemain
macam mana kami tak tekan
memang kerja kami
memang kerja kami…

* sampai bila-bilalah kita tak akan menang…

Gesang Martohartono dan legasinya – “Bengawan Solo”

May 21st, 2010 | syirfan

[youtube=http://www.youtube.com/watch?v=Amnpel6EpdU]

“Bengawan Solo” pernah menjadikan Gesang Martohartono memperoleh Bintang Penghargaan dari  Maharaja Akihito pada 1992 dan Tanda Kehormatan Bintang Budaya Parama Dharma dari Presiden Indonesia. Lagu ini juga pernah diterjemah kepada 13 bahasa dan pernah digunakan di dalam sebuah filem Jepun.

Lagu yang disiapkan pada tahun 1940 selama 6 bulan oleh Gesang Martohartono ini berkisar kepada sungai yang terpanjang di Jawa. Lagu ini juga terasa sangat dekat dengan kita di Malaysia.

Semalam, pencipta lagu Bengawan Solo ini pergi mengadap tuhannya. Bagi peminat lagu Allahyarham seperti saya, Allahyarham bukan meninggalkan  sebuah lagu biasa. Allahyarham meninggalkan sebuah legasi – “Bengawan Solo!”

Al-Fatihah.

kulit kambing…

May 20th, 2010 | syirfan

Pada zaman dahulu ada seorang raja yang memerintah negara Antah Beratah. Suatu hari raja ini berjalan-jalan mengelilingi kotanya. Tiba-tiba, kakinya luka akibat terpijak batu yang tajam.

Terus hadir dalam kotak fikirannya untuk melaksanakan suatu projek yang luar biasa hebatnya. Raja ini mahu membaiki semua jalan-jalan di kotanya. Biar semua rakyat mengkagumi usaha yang akan menyebabkan tiada lagi orang yang luka akibat terpijak batu yang tajam di dalam kotanya.

Maka diperintahkan kepada semua, “kumpulkan kambing-kambing dari baka terbaik. Dapatkan kulitnya. Kulit-kulit ini akan melapisi jalan-jalan sekitar kota”.

Maka riuhlah kota itu untuk mengumpulkan kambing-kambing dari baka terbaik untuk dikorbankan agar kulit-kulit kambing ini dapat digunakan.

Dalam kesibukan raja melihat kambing-kambing dari baka terbaik, hadirlah seorang kanak-kanak dan terus berkata kepada rajanya, “Mengapa perlu tuanku mengorbankan kambing-kambing ini untuk melapisi jalan-jalan di kota ini? Bukankah apa yang tuanku perlukan ialah dua potong kulit kambing yang boleh dijadikan sepatu untuk melapisi kaki tuanku?”

***

Ramai yang mahu mengubah dunia, tapi tidak mahu mengubah dirinya sendiri…

Cinta Sufi

May 18th, 2010 | syirfan

Lama juga saya tidak membaca karya novelis Thriller – Ramlee Awang Murshid. Minggu lepas saya berpeluang untuk mentafsir novel baru beliau – Cinta Sufi.

Bila saya mula membaca karya ini, baru saya sedar bahawa sudah cukup lama saya meninggalkan karya Ramlee Awang Murshid (RAM). Cukup lama. Rasanya karya terakhir yang serius saya baca adalah Tombiruo. Saya sememangnya agak liat untuk membaca karya-karya thriller.

Namun bila mula membaca Cinta Sufi, baru saya sedar saya telah terlepas banyak karya yang sudah terkeluar dari pola thriller lama yang terperap dalam otak saya. Rupanya telah ada trilogi Bagaikan Puteri dan Cinta Sufi ini adalah kesinambungannya.

Ceritanya juga cukup hebat. Menggunakan latar akhir Kesultanan Melayu Melaka sebelum dirakah rakus oleh Portugis dan menggunakan watak-watak yang sememangnya wujud dalam latar sejarah itu.

Namun thriller tetap thriller. Munculllah watak-watak dari zaman yang berbeza, watak dari alam yang lain serta garapan kembali sejarah yang diberi nafas baru yang lebih segar. Bagi saya ia sebuah karya yang memberi warna pada sejarah. Ia sama dengan karya Faisal Tehrani yang memberi wajah hebat Melaka lewat novel 1515 menerusi watak Nyemah Mulya.

(Selepas menulis tajuk novel 1515, saya terus terfikir di mana novel kesayangan saya itu. Hampir 1 jam saya saya membongkar koleksi peribadi saya dan gagal memjumpainya. Kepada sesiapa yang meminjam novel itu, mohon pulangkan semula. Novel itu sangat istimewa kerana ada tandatangan mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohammad di laman hadapannya)

Tiada apa yang boleh dikatakan lagi pada kesempurnaan yang dicipta RAM menerusi watak Laksamana Sunan, Catalina, Luna, mahupun Hang Tuah. Pada saya ia sebuah karya yang baik dan saya sangat gembira punyai novel ini.

Namun disebalik itu saya terkenang pada seorang teman. Penulis muda. Peminat karya thriller. Sebelum ini dia banyak menulis tetapi tidak pernah selesai novelnya. Sangat kompleks cerita thiller yang mahu di bikinkanya.

Jika saya nilai semula, tiada beza idea beliau dengan RAM lewat Cinta Sufi. Saya rasa teman saya itu jauh lebih faham dan rinci pandangannya tentang sejarah Melaka. Penulisannya pun tidaklah ada cacat. Jika dulu keliru dengan karya thriller, RAM telah buka dimensi baru dengan menampilkan cerita cinta. Saya lebih yakin kerana teman saya itu sedang bercinta. Mungkin cintanya lebih hebat dari pandangan cinta RAM.

Oh teman, apa yang ditunggu lagi? Adakah tahun ini akan terbit novel thriller terbaru – Hijrah Cinta?

Perempuan Berkalung Sorban

May 17th, 2010 | syirfan

 

Agak lama masa yang saya ambil untuk memberi peluang filem arahan Hanung Bramantyo ini untuk saya tonton. Walaupun sudah beberapa kali diingatkan oleh beberapa orang rakan tentang istimewanya Perempuan Berkalung Sorban, serta dihangatkan dengan kejayaan filem ini di Festival Filem Indonesia 2009, hanya baru-baru ini peluang itu hadir.

Hadir pun kerana saya sedang mencari jawapan kepada sebuah persoalan yang agak kompleks dalam industri perfileman negara. Saya sedang mencari satu tanda aras apa yang dikenali sebagai filem Islam.

Pada Filem Perempuan Berkalung Sorban saya beri peluang…

Visual pertama Perempuan Berkalong Sorban adalah wajah Anissa berkuda. Revalina S. Temat yang bagi saya sangat cocok dengan wajah Anissa, wanita muslim yang kekar semangatnya, selalu berfikir di luar kotak, bijak dan pastinya cantik. Dibesarkan dalam lingkungan keluarga kiai di sebuah pasantren salafiah Putri Al- Huda, Indonesia.

Pendidikan agama kolot yang diterima oleh Anissa di Pasantren ini menjadikan beliau sentiasa tidak berpuas hati. Baginya pasatren itu telah menghalangnya untuk mencari sesuatu yang jauh lebih bermakna.

Paparan visual filem yang sangat matang dan hebat ini kemudian membawa satu persatu tekanan dan ketidakadilan pada Anissa. Beliau dilarang berkuda, dilarang bermusafir untuk menuntut ilmu dan pelbagai tekanan tipikal pada wanita.

Anissa benar-benar keciwa. Satu persatu derita berkunjung. Hingga Anissa suatu masa berkata “aku sudah berkali-kali istighfar tetapi Tuhan tidak pernah dengar Istighfar aku.”

Pastinya filem ini turut membawa mesej cinta. Anissa dikahwinkan atas pilihan keluarga. Satu budaya biasa masyarakat melayu lama. Pastinya juga menhancurkan cinta lain yang pernah dibina.

Plot seterusnya bagai sudah dijangka. lelaki yang dikahwininya bukanlah sebaik lelaki. Derita demi derita hinggalah cinta lama muncul kembali.

Sukar juga mencari penghujung filem ini. Hanya yang berpinar di akal saya sepanjang menonton filem ini adalah sindirin sosial tajam yang cuba disampaikan. Benarlah kata kawan saya bahawa filem ini cukup panas dari aksi ranjang hingga tafsiran tentang Islam sebagai cara hidup.

Fahamlah saya kenapa karya ini dibantah oleh kumpulan ulama di sana. Ia sebuah karya yang terlalu kejam memperlihatkan wanita dalam agama  Islam. Saya juga cuba memahami idea sang penulis, penerbit dan pengarah yang membawa isu lama wanita menerusi sebuah paparan filem.

Visual akhir filem ini hampir sama. Anissa menunggang kuda tetapi kali ini bersama anaknya. Sebuah paparan 360 darjah. Bahasa filemnya, ia adalah cerita kita semua.

Namun hingga ending credit, saya masih tidak boleh memberi jawapan – apa itu filem Islam?

"Kami semakin miskin, Syirfan"

May 17th, 2010 | syirfan

 

“Kami semakin miskin, Syirfan” ujar Alexandros sewaktu kunjungan pertama saya ke bumi Greece. Alexandros, pemuzik sepenuh masa di Greece terus rancak bercerita tentang masa depan Greece pada tika saya cuba memahami latar sejarah Greece yang cukup berdarah itu.

Terus terang saya tidak faham apa yang cuba disuarakan oleh Alexandros berkait dengan Kesatuan Eropah pada masa itu. Saya hanya menikmati keindahan Greece dari Athens di selatan hingga ke Thesaloniki di utara. Saya menikmati sepenuhnya rasa Eropah di bumi kelahiran Alexander The Great dan kononnya bumi kelahiran Demokrasi.

Sewaktu kunjungan saya ke Greece untuk kali kedua, Alexandros mengulangi rasa risaunya. Pada beliau tindakan Greece berada dalam lingkungan Kesatuan Eropah adalah satu kesilapan. Menggunakan matawang Euro juga adalah satu kesilapan. Saya mula memahami waktu itu.

Penggunaan Euro di Greece telah membawa satu perbezaan yang cukup besar. Rata-rata penduduk mengeluh kerana harga barangan yang naik mendadak. Menurut Alexandros, barangan pengguna di Greece pada relatifnya murah. Namun semuanya berubah sejak Euro mula bersuara. Tiada kawalan harga. Setiap stesen minyak menawarkan harga yang berbeza. Kenaikannnya lebih dari 100 peratus.

Kesatuan Eropah menawarkan bantuan. Antara projek yang dibantu adalah pembinaan dan membaiki laluan lebuhraya yang menghubungkan utara selatan Greece. Hasilnya bayaran tol yang lebih mahal dari harga minyak!

Baru dua tahun berlalu. Kini kemelut ekonomi dan hutang Greece menjadi paparan utama berita ekonomi dunia. 

Penggubal undang- undang Greece meluluskan potongan penjimatan drastik yang diperlukan bagi menjamin pinjaman menyelamat antarabangsa bernilai 110 bilion Euro (RM458 bilion), hasilnya pertempuran jalanan tercetus.Rakyat memberotak.

Selepas Greece, kini negara-negara lain di Eropah juga bakal menghadapi krisis seperti Portugal, Sepanyol dan Itali. Kalau negara-negara dalam Kesatuan Eropah tidak membantu ancaman besar kepada kesatuan itu, maka keseluruhan Kesatuan Eropah akan runtuh.

Keluh Alexandros berterusan, “dulu kami yang menentukan masa depan sejarah dunia. Bayangkan kami ada Alexander The Great. Kami ada Socrates, kami ada Plato. Kami yang tentukan kemana haluan berfikir masyarakat dunia. Hari ini kami jadi pengikut. Kami jadi kecil di bawah Kesatuan Eropah…”

Setiap kali saya membaca berita tentang ekonomi Greece, saya terus teringat Alexandros dan keluh resahnya…

Benarlah seperti yang diceritakan : Stesen TV baru akan muncul Ramadhan ini…

April 26th, 2010 | syirfan

Benarlah…

Tiada penafian lagi. Sebuah stesen TV baru akan muncul Ramadhan ini.

Stesen TV yang diberi nama Hijrah TV ini di uruskan  Al Hijrah Media Corporation. Stesen ini berkonsepkan “free to air“. Ini bermakna stesen TV ini akan bersiaran seperti RTM, TV3 dan sebagainya. Namun pastinya stesen ini turut akan “menumpang” di ASTRO seperti saluran-saluran free to air yang lain.

Stesen ini juga dijangka akan mula bersiaran Ogos ini sempena bulan Ramadhan. Untuk peringkat awal, hanya beberapa bahagian di semenanjung akan menerima frekuansinya. Hanya menjelang siaran penuh pada bulan Disember, barulah stesen ini akan dinikmati di seluruh semenanjung dan Sabah Sarawak. Namun jika sudah mempunyai saluran Astro, tidaklah akan ketinggalan menikmati saluran ini walau dimanapun anda berada…

Stesen TV yang merupakan syarikat jaminan penuh kerajaan ini  beroperasi sepenuhnya di Pusat Islam, Kuala Lumpur.

Hijrah TV menawarkan program-program pelbagai genre sama seperti stesen TV yang lain. Beza stesen TV ini terletak pada perisian kandungan yang ditawarkan. Pastinya akan terkesan kerana ia hadir sebagai stesen TV Islam. Apa yang dimaksudkan stesen TV Islam?

Perubahan…

March 29th, 2010 | syirfan

Agak lama  masa yang saya ambil untuk kembali ke laman ini. Mungkin kesan dari ucap “Selamat Tinggal” itu masih berbekas. Masih terasa. Maklumlah, tulah tempat tertanamnya harapan. Itu juga tempat yang pernah menghantar saya ke bintang…

Hakikatnya, tempat itu terpaksa saya tinggalkan dengan penuh rasa kesal. Apa pun, itulah silibus hidup yang perlu saya lalui. Harap untuk terus mematangkan diri…

Kadang-kadang hidup memang memerlukan bencana sebagai satu momentum untuk berubah. Ia mungkin ketika bencana itu melanda atau bencana itu bakal muncul tidak lama lagi. Bayangkan, bila kita mahu belajar bersungguh-sungguh? bila kita tahu kita nyaris gagal. Bila kita mahu berkata secara bersungguh-sungguh kepada kekasih bahawa kita cintakan dia? Waktu hubungan itu sudah hampir benar ke penghujungnya…

Namun tidaklah perlu bencana-bencana besar barulah kita mahu berubah. Tidak seperti dalam drama melayu bila sudah dilanggar lori, dirogol, dan dilanda dengan segala kejahatan dunia baru hendak berubah. Realiti hidup – Kita dikenakan saman atau anak masuk hospital pun kita sudah berjanji pada diri untuk berubah! Hidup ini tidak memerlukan bencana besar untuk berubah. Cukup kita sedar bahawa telah tiba masanya…

Bagi saya, inilah masanya itu perubahan itu… Inilah masa untuk penghijrahan yang ditunggu-tunggu… Kawan-kawan bagaimana?