Pokok Bunga Raya Saya…

December 27th, 2011 | syirfan

Bunga raya di halaman orang lain...

Sudah agak lama saya tidak mengemaskan pokok-pokok bunga di halaman rumah. Cukup lama. Sehingga saya lupa – bila kali terakhir saya melihat pokok-pokok ini berbunga.

Pagi semalam saya dedikasikan masa saya untuk pokok-pokok bunga itu. Pokok-pokok ini semuanya saya tanam dalam pasu. Saya ganti -tanahnya. Saya tukar pasunya. Saya pangkas dahan, saya tabur baja. Dek kelekaan mengemaskan pokok-pokok berbunga – di hujung sekali baru saya perasan bahawa saya punya sepasu pokok bunga raya.

Beberapa tahu yang lalu – saya punya pokok bunga raya yang agak banyak. Cukup pelbagai warna. Katalah jenis bunga raya yang mana, warna apa - Insyaallah saya ada.

Entah tidak tahu, kenapa saya suka bunga raya. Paling lekat di hari saya tiap kali memandang bunga raya – saya ingat zaman kecil saya. Saya ingat halaman rumah. Jika dikampung, saya ingat dengan tepat dimana pokok bunga raya merah dan kuning di halam rumah saya. Saya ingat di rumah jiran mana yang ada bunga raya putih atau bunga raya merah jambu. Saya ingat deretan bunga raya yang membahagi ruang sekolah dan padang. Saya ingat kawan-kawan yang mengutip daun-daun runga raya yang lebar untuk dijadikan duit. Sangat berbekas…

Mungkin masa telah berubah. Tidak ada lagi yang sudi menanam pokok bunga raya sebagai hiasan rumah. Di kampung pun, tak ada lagi deretan pokok bunga raya. Mungkin sama dengan saya, di rumah saya hanya ada sepasu pokok bunga raya yang  saya sudah lupa pun warnanya!

Pagi itu juga saya lakukan operasi menyelamat. Menyelamatkan pokok bunga raya yang satu itu. Saya mahu tukar pasu dan tanahnya – baru saya perasan bahawa saya kehabisan tanah baru. Saya korek semula pokok-pokok berpasu yang sudah saya ganti tanah sebentar tadi. Saya ambil tanah baru pada setiap pasu. Sedikit-sedikit.  Akhirnya dapatlah satu pasu penuh tanah baru yang telah saya gauli dengan baja. Saya tanam pokok bunga raya dengan selawat yang panjang – saya mahu bunga raya saya kembali kembang. Sudah lama saya tidak lihat bunga raya yang kembang. Sekembangnya…

 

SIMS – tidak adalah bunga raya berbau semerbak bunga mawar?

Evita – Selepas 15 tahun.

December 10th, 2011 | syirfan

25 Dis ini genaplah 15 tahun filem adaptasi - Evita, karya besar Alan Parker memecah panggung. Saya sendiri telah menonton filem muzikal ini secara penuh sebanyak 5 kali. Dalam tempoh 15 tahun, 5 kali di tonton – dan tontonan saya beberapa hari yang lalu membawa saya berfikir panjang… sangat panjang bila melewati makna lirik Don’t cry for me Argentina.

klik -  Evita : Don’t Cry For me Argentina  

Evita akan diingati sebagai sebuah filem muzikal berkualiti tinggi. Dengan aturan award yang dimenenangi, Evita akan terus dilihat dan dinilai dalam ruang masa yang sangat panjang. Ia bukan sekadar cerita Eva Duarte  yang mengilai Beunos Aires dan memasang dendam yang cukup dalam kepada semua golongan aristokrat, ia juga cerita rakyat – yang dihimpit dan menghimpit.

Dengan latar 1950-an yang cukup dramatik, filem digerakkan dengan narator – satu pendekatan yang sangat jarang dilakukan dalam filem.  Antonio Banderas cukup kemas dan  bergaya dalam melaksanakan tugas. Begitu juga di Eva Duante yang akhirnya membawa Juan Peron, pemimpin Republik ke puncak. Walaupun pada mulanya menggunakan Juan Peron sebagai batu loncatan, akhirnya Eva mengakui cinta lelaki itu cukup istimewa. Dengan bayaran 1 juta dollar untuk membawa watak ini pastinya Eva di tangan Madonna sangat berbaloi.

32 lagu pastinya membawa penonton terbuai dalam sejarah Argentina yang pelbagai warna. Filem ini telah memainkan peranan yang cukup terkesan. Pada mulanya saya keliru pada wajah-wajah rakyat yang dihambat polis bengis, askar yang menembak tanpa peduli, siri letupan yang membunuh dan senyum jahat setiap watak pemimpin. Saya juga mula jelek dengan visual rakyat memecah kedai, protes panjang tanpa henti, sepanduk yang entah apa-apa, membakar papan tanda dan sebagainya. Pada akhir cerita baru saya terpukul, karya ini bukan cerita Evita si wanita muda menaiki tangga demi tangga untuk berjaya – ia sebenarnya cerita rakyat Argentina yang melalui derita politik.

Jika karya filem itu bertindak sebagai agen propaganda dan memberi impak baru kepada persepsi sejarah – saya kira Evita sangat berjaya. Bila saya melewati laman-laman blog yang   membedah karya Evita ini, saya lihat persamaan yang nyata. Memuji usaha semua yang merealitikan Evita dan dalam masa yang sama memperakui bahawa filem mempunyai bahasa yang sangat unik, besar dan juga tajam!

 A hunch is creativity trying to tell you something. –Frank Capra

SIMS : Saya juga mahu bikin filem.