Inilah masanya!
Selepas beberapa musim realiti TV mengambil tempat utama dalam rating penonton dan kredit telefon penonton TV di Malaysia, muncullah beberapa program realiti yang lebih berjiwa. Ia bukan program yang sekadar menyanyi dan meraih populariti. Realiti TV ini bertunjangkan agama tetapi dalam masa yang sama masih mengekalkan nilai komersial dan populariti itu.
Perkembangan yang saya labelkan sebagai “ops putih” ini berjaya membawa watak-watak baru untuk bergelar selebriti tetapi mempunyai keperkasaan agama, nilai diri dan kefahaman matlamat hidup. Walaupun saya tidak yakin ia merupakan ramuan yang terbaik untuk jangka panjang, namun inilah tindakan terbaik untuk jangka masa sederhana. Jika rancangnya untuk jangka panjang, saya yakin usaha mencari selebiti itu harus melalui takah-demi takah yang jauh lebih lama, mendalam dan konsisten.
Selepas Oasis berjaya dengan Imam Muda dan menghasilkan fenomena yang saya kira cukup baik, Oasis turut memperkenalkanUstazah Pilihan. Saya kira untuk jadi neraca pengimbang kepada kehendak penonton. Selepas memperoleh Ustaz-Ustaz yang boleh dijual dipasaran media, perlu juga ustazah-ustazah yang turut boleh dibanggakan.
Saya pasti tiada masalah dengan itu. Walaupun selepas meneruskan kembara ke TV AlHijrah, saya harus mengangkat topi pada Oasis atas usaha itu. Mungkin sedikit sentimental kerana Oasis pernah menjadi pentas latihan pematangan kerjaya saya dahulu. Jika tidak pun, usaha mengangkat syiar Islam dalam lapangan media ini harus dihormati semua.
Saya hadir di TV Al hijrah pada tika stesyen ini masih belum punya pejabat apatah lagi sebuah studio(saya memegang no perkerja 009). Berbincanglah kami apa realiti TV yang wajar dizahirkan. Entah bagaimana kami bagai sepakat untuk melahirkan sebuah program realiti untuk mencari pendakwah wanita.
Mungkin panjang cerita pahit manisnya, namun semuanya akur kepada idea itu dan setuju untuk memberi nama bayi realiti pertama TV Alhijrah dengan nama SOLEHAH.
Solehah akan mula bersiaran hari ini (jumaat, 8.30 malam, 23 sept) secara langsung dari Dewan Muktamar, Kompleks Pusat Islam Kuala Lumpur. Selepas melalui beberapaa siri ujibakat, 10 peserta pertama Solehah akan muncul atas azam – menjadi pendakwah!
Wujud beberapa keunikkan yang bakal terzahir dalam Solehah kali ini. Tiada penyingkiran akan dilakukan. Tidak ada mereka yang akan menarik beg kerana gagal kerana bagi kami disini, memberi ruang dan peluang itu harus dilanjutkan. Mengapa perlu seorang pendakwah hebat jika kita boleh lahirkan dan perlukan 10 pendakwah yang punya karisma?
Peserta-peserta yang dipilih juga bukan sahaja mempunyai pendidikan agama yang tuntas, namun jangan terperanjat mereka berdiri dengan nilai pengetahuan merentas sempadan kuno itu. Mereka adalah jurutera, atlit, usahawan dan pelbagai kerjaya lagi. Walau dari mana dan siapapun mereka, persamaan tetap jelas – mereka semua tetap memegang Islam tanpa kompromi.
Selepas siaran malam ini, emak-emak di rumah akan mula memberi gambaran baru tentang bakal menantu. Pasti terzahir kata “cuba kau cari menantu untuk emak ni macam peserta solehah tu…” atau yang perempuan mula menanam azam untuk kelihatan hebat di pentas kerjaya dan dalam masa yang sama punyai nilai solehah yang tinggi dalam diri.
Bagi yang lelaki bujang, mulalah berangan untuk punya “solehah” mereka sendiri. Adik-adik kecil akan punya cita-cita baru yang sebelum ini nampak jelek dan pelik. “Saya mahu jadi pendakwah islam yang hebat seperti kakak di dalam Solehah itu!”
Kami di sini tetap memegang janji untuk memberi program yang boleh jadi pengubat hati. Solehah adalah salah satu dari usaha kami untuk melengkapkan kata “semuanya bermula disini…”
Malam ini adalah malam saya untuk Solehah. Anda bagaimana?





Semoga Solehah menjadi fenomena. All the best!
TAHNIAH TV AL-HIJRAH! teruskan niat murni kalian. cuma ada beberapa frasa yg agak menjurus ke arah duniawi sekaligus menzahirkan niat bahawa kewujudan rancangan ini adalah untuk CARI MENANTU @ PASANGAN HIDUP contohnya: “Selepas siaran malam ini, emak-emak di rumah akan mula memberi gambaran baru tentang bakal menantu. Pasti terzahir kata “cuba kau cari menantu untuk emak ni macam peserta solehah tu…” atau yang perempuan mula menanam azam untuk kelihatan hebat di pentas kerjaya dan dalam masa yang sama punyai nilai solehah yang tinggi dalam diri. Bagi yang lelaki bujang, mulalah berangan untuk punya “solehah” mereka sendiri. Tapi tak tahu lah pulak kalau2 memang kriteria/hadaf asal programn ini adalah ke arah itu. harap2nya tidak lah ye! wallahu a;lam.
Assalamualaikum warahmatullah..
Saya cuba melihat semua perkara dari sudut yang positif. Adakah jawapan yang objektif apabila ‘Solehah’ dipertikaikan perlaksanaannya oleh ramai pihak bahawa sangat bertentangan dengan syariat Islam itu sendiri.
Wassalam.