Keliru dan akan dikelirukan lagi!

Ruang bicara tentang SEJARAH makin besar dan mungkin juga makin mengarut. Dari perbincangan matang dan intelektual menjadi tohmahan, sindiran, selar-mengelar, kutuk mengutuk dan makin merumitkan keadaan. Ia makin mengelirukan. Selepas sekian banyak senjata digunakan dalam pentas bernama politik, kini senjata halus yang bukan sahaja memusnahkan musuh tetapi akan merobek pemegang senjata digunakan. Senjata itu bernama SEJARAH.

Apa itu sejarah? Mengapa perlu kita belajar dan memahami sejarah? . Ahli Ilmiah membawa mesej besar bahawa pengkajian sejarah wajar membawa unsur moral yang berharga serta menjadi alat kepada kesahihan atau penjelasan tepat dan padat untuk mengekalkan “objektif” fakta dan matlamat.

Lantas, apa relevannya sejarah dengan zaman pasca moden? Isu tafsiran sejarah menjadi agenda hangat sekitar 1950-an. Perbincangan itu merungkai kepentingan, metodologi dan falsafah. Perbincangan itu terus hangat sekitar tafsiran “there is nothing outside the text”.

Sikap tidak peduli sejarah bukanlah isu di Asia sahaja. Awal 1990, sesetengah universiti di Eropah bercadang menutup beberapa jabatan yang kurang popular seperti jabatan sejarah dan jabatan falsafah. Saya yakin, isu tidak peduli sejarah ini turut berakar umbi di negara ini – Malaysia.

Di alam sebelah sini, sejarah disamaertikan dengan history yang dikatakan terhasil dari perkataan syajarah yang bererti pokok dalam bahasa arab. Ramai sejarawan berpendapat sejarah berasal dari perkataan syajaratun yang bermaksud pohon yang akhirnya membawa erti salasilah, riwayat, keturunan dan asal usul. Persamaan yang mungkin dimutlakkan sama adalah memperakui Herodutus yang mula-mula menggunakan perkataan historia.

Saya sendiri melihat sejarah sebagai sekeping syiling emas. Satu sudut ia adalah fakta. Maksudnya ia adalah kenyataan objektif. Ia bukan gambaran. Ia semestinya data yang tepat. Inilah yang berkait dengan tarikh, nama, lokasi dan seumpamanya.

Satu sisi yang lain, sejarah adalah gambaran dan tafsiran. Ia adalah kenyataan subjektif. Inilah wajah yang berubah setiap kali persepsi baru muncul. Ia berubah mengikut situasi. Ia mungkin memperkaui peranan Hang Tuah. Esok ia mungkin memperkaui peranan Hang Jebat. Mungkin esok lusa memperkaui peranan Patih Gajah Mada. Ia sentiasa berubah mengikut kehendak zaman, pemikiran, peristiwa dan pastinya pada individu itu sendiri.

Dalam metafora itu, saya yakin bahawa sejarah wajar dilihat secara holistik. Ia mesti dinilai dari dua sisi – objektif dan subjektif. Tiada pengecualian tentang itu. Kerisauannya ialah bagaimana membuat tafsiran yang tepat pada sisi subjektif itu.

Saya kira nilaian yang utama ialah tanggungjawab, kefahaman dan kejujuran. Tanpa nilai-nilai ini, tafsiran subjektif itu akan mengzahirkan lebih banyak kekeliruan dan salah faham. Perlu diingat bahawa ia akan terus cacat sepanjang keberadaan tamadun manusia itu. Bagi mereka yang ada kepentingan tertentu, fahamilah bahawa senjata yang sedang dipegang itu bukan milik kita hari ini. Senjata itu adalah milik generasi akan datang. Kita sekadar meminjam dan menggunakannya sebagai falsafah yang mengajar dengan contoh.

Saya dan rakan-rakan  yang sering meminjam beberapa sejarah negara untuk tugasan penerbitkan dokumentari negara turut memperakui bahawa terdapat lompang yang harus ditampal. Ada beberapa cebisan sejarah yang belum ditulis dan dirintis. Ia bertaburan merata. Kadang-kadang terpijak dan diinjak oleh senjata yang jauh lebih kejam bernama pembangunan.

Jika usaha kolektif tidak berlangsung (saya kira ia bukan tugas para sejarawan sahaja), sejarah-sejarah penting akan terus hilang ditelan masa. Mereka yang berumur akan mula beransur pergi. Pergi bersama secara yang pasti. Anak muda yang tidak tahu hujung dan pangkal akan mula membuat interpretasi sendiri. Akhirnya sejarah mula dilihat sebagai cebisan-cebisan cerita bangsa. Tiada nilai yang perlu dilabelkan.

Saya kira perbincangan (atau cakap-cakap) sejarah negara ini akan berlangsung kian rancak. Ia bukan sahaja dibicarakan secara jantan di dewan kuliah tetapi makin berapi di pentas politik hingga lebih panas dari secawan kopi di warung. Saya sangat selesa dengan perbincangan matang (walaupun menongkah arus) dengan janji bahawa sejarah itu dibicarakan dengan matlamat suci. Memberi nilai tambah kepada usaha memperkasakan agama dan bangsa. Jika ia untuk keuntungan individu mahupun kelompok tertentu, maaf - saya tidak berminat.

Saya tidak sedia untuk keliru dan dikelirukan lagi! Lebih-lebih lagi dari senjata bernama SEJARAH. Saya mahu ketepatan dan saya mahu tafsiran yang matang. Tiada negosiasi tentang itu…

SIMS – Saya mahu terbitkan doku sejarah lagi…