Masa Untuk SOLEHAH!

September 23rd, 2011 | syirfan

Inilah masanya!

Selepas beberapa musim realiti TV mengambil tempat utama dalam rating penonton dan kredit telefon penonton TV di Malaysia, muncullah beberapa program realiti yang lebih berjiwa. Ia bukan program yang sekadar menyanyi dan meraih populariti. Realiti TV ini bertunjangkan agama tetapi dalam masa yang sama masih mengekalkan nilai komersial dan populariti itu.

Perkembangan yang saya labelkan sebagai “ops putih” ini berjaya membawa watak-watak baru untuk bergelar selebriti tetapi mempunyai keperkasaan agama, nilai diri dan kefahaman matlamat hidup. Walaupun saya tidak yakin ia merupakan ramuan yang terbaik untuk jangka panjang, namun inilah tindakan terbaik untuk jangka masa sederhana. Jika rancangnya untuk jangka panjang, saya yakin usaha mencari selebiti itu harus melalui takah-demi takah yang jauh lebih lama, mendalam dan konsisten.

Selepas Oasis berjaya dengan Imam Muda dan menghasilkan fenomena yang saya kira cukup baik, Oasis turut memperkenalkanUstazah Pilihan. Saya kira untuk jadi neraca pengimbang kepada kehendak penonton. Selepas memperoleh Ustaz-Ustaz yang boleh dijual dipasaran media, perlu juga ustazah-ustazah yang turut boleh dibanggakan.

Saya pasti tiada masalah dengan itu. Walaupun selepas meneruskan kembara ke TV AlHijrah, saya harus mengangkat topi pada Oasis atas usaha itu. Mungkin sedikit sentimental kerana Oasis pernah menjadi pentas latihan pematangan kerjaya saya dahulu. Jika tidak pun, usaha mengangkat syiar Islam dalam lapangan media ini harus dihormati semua.

Saya hadir di TV Al hijrah pada tika stesyen ini masih belum punya pejabat apatah lagi sebuah studio(saya memegang no perkerja 009). Berbincanglah kami apa realiti TV yang wajar dizahirkan. Entah bagaimana kami bagai sepakat untuk melahirkan sebuah program realiti untuk mencari pendakwah wanita.

Mungkin panjang cerita pahit manisnya, namun semuanya  akur kepada idea itu dan setuju untuk memberi nama bayi realiti pertama TV Alhijrah dengan nama SOLEHAH.

Solehah akan mula bersiaran hari ini (jumaat, 8.30 malam, 23 sept) secara langsung dari Dewan Muktamar, Kompleks Pusat Islam Kuala Lumpur. Selepas melalui beberapaa siri ujibakat, 10 peserta pertama Solehah akan muncul atas azam – menjadi pendakwah!

Wujud beberapa keunikkan yang bakal terzahir dalam Solehah kali ini. Tiada penyingkiran akan dilakukan. Tidak ada mereka yang akan menarik beg kerana gagal kerana bagi kami disini, memberi ruang dan peluang itu harus dilanjutkan. Mengapa perlu seorang pendakwah hebat jika kita boleh lahirkan dan perlukan 10 pendakwah yang punya karisma?

Peserta-peserta yang dipilih juga bukan sahaja mempunyai pendidikan agama yang tuntas, namun jangan terperanjat mereka berdiri dengan nilai pengetahuan merentas sempadan kuno itu. Mereka adalah jurutera, atlit, usahawan dan pelbagai kerjaya lagi. Walau dari mana dan siapapun mereka, persamaan tetap jelas – mereka semua tetap memegang Islam tanpa kompromi.

Selepas siaran malam ini, emak-emak di rumah akan mula memberi  gambaran baru tentang bakal menantu. Pasti terzahir kata “cuba kau cari menantu untuk emak ni macam peserta solehah tu…” atau yang perempuan mula menanam azam untuk kelihatan hebat di pentas kerjaya dan dalam masa yang sama punyai nilai solehah yang tinggi dalam diri.

Bagi yang lelaki bujang, mulalah berangan untuk punya “solehah” mereka sendiri.  Adik-adik kecil akan punya cita-cita baru yang sebelum ini nampak jelek dan pelik. “Saya mahu jadi pendakwah islam yang hebat seperti kakak di dalam Solehah itu!”

Kami di sini tetap memegang janji untuk memberi program yang boleh jadi pengubat hati. Solehah adalah salah satu dari usaha kami untuk melengkapkan kata “semuanya bermula disini…”

Malam ini adalah malam saya untuk Solehah. Anda bagaimana?

Sejarah yang keliru…

September 21st, 2011 | syirfan

Keliru dan akan dikelirukan lagi!

Ruang bicara tentang SEJARAH makin besar dan mungkin juga makin mengarut. Dari perbincangan matang dan intelektual menjadi tohmahan, sindiran, selar-mengelar, kutuk mengutuk dan makin merumitkan keadaan. Ia makin mengelirukan. Selepas sekian banyak senjata digunakan dalam pentas bernama politik, kini senjata halus yang bukan sahaja memusnahkan musuh tetapi akan merobek pemegang senjata digunakan. Senjata itu bernama SEJARAH.

Apa itu sejarah? Mengapa perlu kita belajar dan memahami sejarah? . Ahli Ilmiah membawa mesej besar bahawa pengkajian sejarah wajar membawa unsur moral yang berharga serta menjadi alat kepada kesahihan atau penjelasan tepat dan padat untuk mengekalkan “objektif” fakta dan matlamat.

Lantas, apa relevannya sejarah dengan zaman pasca moden? Isu tafsiran sejarah menjadi agenda hangat sekitar 1950-an. Perbincangan itu merungkai kepentingan, metodologi dan falsafah. Perbincangan itu terus hangat sekitar tafsiran “there is nothing outside the text”.

Sikap tidak peduli sejarah bukanlah isu di Asia sahaja. Awal 1990, sesetengah universiti di Eropah bercadang menutup beberapa jabatan yang kurang popular seperti jabatan sejarah dan jabatan falsafah. Saya yakin, isu tidak peduli sejarah ini turut berakar umbi di negara ini – Malaysia.

Di alam sebelah sini, sejarah disamaertikan dengan history yang dikatakan terhasil dari perkataan syajarah yang bererti pokok dalam bahasa arab. Ramai sejarawan berpendapat sejarah berasal dari perkataan syajaratun yang bermaksud pohon yang akhirnya membawa erti salasilah, riwayat, keturunan dan asal usul. Persamaan yang mungkin dimutlakkan sama adalah memperakui Herodutus yang mula-mula menggunakan perkataan historia.

Saya sendiri melihat sejarah sebagai sekeping syiling emas. Satu sudut ia adalah fakta. Maksudnya ia adalah kenyataan objektif. Ia bukan gambaran. Ia semestinya data yang tepat. Inilah yang berkait dengan tarikh, nama, lokasi dan seumpamanya.

Satu sisi yang lain, sejarah adalah gambaran dan tafsiran. Ia adalah kenyataan subjektif. Inilah wajah yang berubah setiap kali persepsi baru muncul. Ia berubah mengikut situasi. Ia mungkin memperkaui peranan Hang Tuah. Esok ia mungkin memperkaui peranan Hang Jebat. Mungkin esok lusa memperkaui peranan Patih Gajah Mada. Ia sentiasa berubah mengikut kehendak zaman, pemikiran, peristiwa dan pastinya pada individu itu sendiri.

Dalam metafora itu, saya yakin bahawa sejarah wajar dilihat secara holistik. Ia mesti dinilai dari dua sisi – objektif dan subjektif. Tiada pengecualian tentang itu. Kerisauannya ialah bagaimana membuat tafsiran yang tepat pada sisi subjektif itu.

Saya kira nilaian yang utama ialah tanggungjawab, kefahaman dan kejujuran. Tanpa nilai-nilai ini, tafsiran subjektif itu akan mengzahirkan lebih banyak kekeliruan dan salah faham. Perlu diingat bahawa ia akan terus cacat sepanjang keberadaan tamadun manusia itu. Bagi mereka yang ada kepentingan tertentu, fahamilah bahawa senjata yang sedang dipegang itu bukan milik kita hari ini. Senjata itu adalah milik generasi akan datang. Kita sekadar meminjam dan menggunakannya sebagai falsafah yang mengajar dengan contoh.

Saya dan rakan-rakan  yang sering meminjam beberapa sejarah negara untuk tugasan penerbitkan dokumentari negara turut memperakui bahawa terdapat lompang yang harus ditampal. Ada beberapa cebisan sejarah yang belum ditulis dan dirintis. Ia bertaburan merata. Kadang-kadang terpijak dan diinjak oleh senjata yang jauh lebih kejam bernama pembangunan.

Jika usaha kolektif tidak berlangsung (saya kira ia bukan tugas para sejarawan sahaja), sejarah-sejarah penting akan terus hilang ditelan masa. Mereka yang berumur akan mula beransur pergi. Pergi bersama secara yang pasti. Anak muda yang tidak tahu hujung dan pangkal akan mula membuat interpretasi sendiri. Akhirnya sejarah mula dilihat sebagai cebisan-cebisan cerita bangsa. Tiada nilai yang perlu dilabelkan.

Saya kira perbincangan (atau cakap-cakap) sejarah negara ini akan berlangsung kian rancak. Ia bukan sahaja dibicarakan secara jantan di dewan kuliah tetapi makin berapi di pentas politik hingga lebih panas dari secawan kopi di warung. Saya sangat selesa dengan perbincangan matang (walaupun menongkah arus) dengan janji bahawa sejarah itu dibicarakan dengan matlamat suci. Memberi nilai tambah kepada usaha memperkasakan agama dan bangsa. Jika ia untuk keuntungan individu mahupun kelompok tertentu, maaf - saya tidak berminat.

Saya tidak sedia untuk keliru dan dikelirukan lagi! Lebih-lebih lagi dari senjata bernama SEJARAH. Saya mahu ketepatan dan saya mahu tafsiran yang matang. Tiada negosiasi tentang itu…

SIMS – Saya mahu terbitkan doku sejarah lagi…

Selamat Hari Malaysia

September 16th, 2011 | syirfan

Salam.

Hari ini adalah hari Malaysia. Bezanya kali ini majlis sambutannya di sambut bersama dengan hari Kemerdekaan. Tidak ada canggungnya. Tidak ada salahnya.

Sambutan sebegini harus terus disambut walaupun tafsiran dan persepsi akan sentiasa berubah. Namun, nilai diri harus terus keras berteras agama dan bangsa.

Saya menghiasi hari ini dengan sebuah puisi lama – Zaen Kasturi. Sebuah puisi yang pernah saya hafalkan. Sebuah puisi yang bagi saya terus cantik dan dalam maknanya. Jika sudi, fahamilah bersama. Ini mungkin “makanan” istimewa hari ini.

Jemput makan…

KE RUANG KATARSIS

Sesudah mengisi mimpi sesia di ranjang nyedar
apakah yang sempat kita kutip lewat darah dan air mata
poyong moyang yang tumpah ke cangkir resah

resah menggeliat ke tanah
resah menggeliat ke rimba
resah memulas ke tulang bangsa.

Barangkali kitalah penanampadi-padi hampa
membiarkan anak-anak keridik mencuri meresik
melinja dan mahsuri di bendang galauan
hingga gugup mengatur genta pertama

gugup lahir di mata kita
gugup lahir di suara kita
gugup membiak di mana-mana.

Kita tidak lagi pernah bertanya kenapa manusia
harus jadi manusia tanpa menolak kebenaran untuk jadi
manusia yang tegar meniup seruling kemanusiaan
yang ligat memetik kecapi keluhuran
kerana kita lupa apa yang tersimpan di album bangsa

album bangsa pernah menyimpan sejuta potret luka
luka berpinar ke nyali jagat
luka berputar ke rohaniah umat
luka menyentak haluan kiblat.

Esok kita bakal menggali tanah
dan menggalas cangkelong maut dari kulit sendiri
ke manakah bangkai dosa akan dikirim
ke kali tujuh penjuru gunung
atau ke laut tujuh penjuru tanjung
sedang kita pernah menari ala canggung maharisi
di kaki bicara nihilisme. Sempurnakah kesesalan kita dengan
melimpahkan air mata nanah ke luka bangsa?

Jerit kita nanti cuma tulang-tulang yang tidak
sempat ditalkinkan pada saat pertama lolong angin tenggara
memintal duka bersama
pekik kita nanti cuma darah-darah yang tidak sempat
dikebumikan pada saat pertama raung hujan selatan
menganyam gugup yang bergantung di dada.

Mari kita lagukan canggung katarsis
arena kita nanti bukan lagi saujana padang lalang
muzik kita nanti bukan lagi tubuh sayap merpalang.

Ayunkan roh anak ke pintu hakiki
dodoikan nyali anak ke perabung maknawi
temani tidur mereka dengan mimpi-mimpi wangi
dan selimut iman dari tuhan.

SIMS – saya rindu masa lalu.